14 Februari 2025 | 15 Syaaban 1446H
Shah Alam - Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM hari ini menerima kunjungan daripada Pusat Psikologi & Kaunseling UiTM dalam satu sesi perkongsian ilmu berkaitan pembangunan bakat. Lawatan ini diketuai oleh Pengarah Pusat Psikologi & Kaunseling UiTM, Puan Wan Noraini Wan Yusoff, bersama barisan Pegawai Psikologi dari UiTM Shah Alam dan cawangan.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk meninjau kaedah pelaksanaan serta perancangan yang telah dan akan dijalankan oleh PTAR UiTM Shah Alam dalam usaha merealisasikan pelan pembangunan bakat bagi semua staf perpustakaan di seluruh kampus UiTM. Inisiatif ini dijangka dapat memberi impak positif dalam melahirkan tenaga kerja pustakawan yang lebih inovatif dan berkualiti tinggi.
Selain itu, sesi perkongsian ini turut membincangkan potensi kerjasama antara pustakawan dan pegawai psikologi dalam aspek pembangunan kepakaran serta skim latihan profesional yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak. Perbincangan ini membuka ruang bagi pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik dalam membangunkan kompetensi tenaga kerja UiTM untuk menghadapi cabaran masa depan.
Dengan inisiatif seperti ini, PTAR UiTM dan Pusat Psikologi & Kaunseling UiTM terus komited dalam memperkasa pembangunan modal insan, sejajar dengan visi UiTM untuk melahirkan warga kerja yang berdaya saing dan berinovasi tinggi dalam era digital ini.