Segamat, 5 Mac 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI) komited dalam memperkukuh pengurusan risiko melalui penganjuran Bengkel Pengurusan Risiko PTDI 2025 & Sedia, Cegah, Tangani: Strategi Pengurusan Risiko. Program ini berlangsung di CGS Trading Room secara bersemuka untuk warga Kampus Segamat dan secara maya bagi warga Kampus Pasir Gudang.
Bengkel ini menampilkan dua penceramah berpengalaman, iaitu Puan Mawar Noor binti Abdullah (Timbalan Ketua Pustakawan) dan Encik Ahmad Akmal bin Idris (Pustakawan Kanan). Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada staf PTDI mengenai strategi pengurusan risiko yang sistematik serta langkah-langkah pencegahan yang berkesan bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan perpustakaan.
Dalam sesi pertama, Puan Mawar Noor membincangkan kepentingan mengenal pasti risiko lebih awal serta kaedah pemantauan berterusan bagi memastikan pengurusan risiko yang lebih efektif. Sesi ini turut memberi ruang kepada peserta untuk bertanya soalan dan berkongsi cabaran dalam pengurusan risiko di bahagian masing-masing.
Sesi kedua pula dikendalikan oleh Encik Ahmad Akmal yang memberi tumpuan kepada penilaian, analisis, dan klasifikasi risiko dalam operasi perpustakaan. Beliau turut membimbing peserta dalam mengemaskini daftar risiko PTDI 2025 serta penyediaan SOP risiko secara sistematik bagi memastikan pengurusan yang lebih tersusun dan berkesan.
Bengkel ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga PTDI dan berjaya meningkatkan kesedaran serta kefahaman mereka terhadap kepentingan pengurusan risiko dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan perpustakaan secara strategik dan berterusan.
Pautan hebahan media sosial : bengkel pengurusan risiko tangani risiko perpustakaan