Perpustakaan Tun Abdul Razak Raih Hak Cipta untuk Tagline Terbaharu
6 Februari 2025 | 7 Syaaban 1446H PETALING JAYA – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini mengumumkan kejayaan penting apabila menerima sijil Pemberitahuan Hak Cipta untuk karya tagline terbaharu iaitu, "Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa." Sijil tersebut disampaikan oleh Encik Zulhilmi Aizat bin Ahmad Jaffri di Menara MyIPO pada tengah hari tadi.
Kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan PTAR sebagai institusi yang komited dalam mempromosikan ilmu dan pendidikan. Dalam satu kenyataan, pihak perpustakaan menyatakan rasa syukur atas pencapaian ini dan menekankan pentingnya tagline berkenaan dalam menggambarkan visi mereka.
Mengenang kembali sejarah penggunaan tagline, PTAR telah melalui beberapa evolusi sejak penubuhan awalnya. Tagline pertama, "PTAR@Your Service," dilancarkan pada tahun 2005, diikuti dengan "Library For All" pada tahun 2012. Kini, dengan pengenalan tagline terbaharu ini pada tahun 2024, PTAR berhasrat untuk lebih menyerlahkan peranan perpustakaan sebagai gedung ilmu yang memberikan penyampaian dan penyantunan ilmu kepada warga universiti serta komuniti. "Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa" kini menjadi identiti rasmi bagi Perpustakaan UiTM dan dianggap sebagai langkah strategik dalam memartabatkan ilmu serta pembentukan masyarakat yang progresif.
Dengan semangat membudayakan ilmu di kalangan generasi muda, perpustakaan berharap dapat membentuk individu yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga mempunyai jati diri yang kukuh dalam pembangunan masyarakat. Perpustakaan Tun Abdul Razak terus berkomitmen untuk menjadi sumber rujukan utama bagi semua lapisan masyarakat serta meneruskan usaha-usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan demi kemajuan negara.